ROME, 1 November – Pengendali baharu Juventus, Luciano Spalletti yakin pasukan tersebut masih mampu mencabar kejuaraan Serie A meskipun kini berada di tangga ketujuh liga.
Spalleti menjelaskan keyakinan itu menjadi faktor utama beliau menerima tawaran jangka pendek untuk membimbing kelab gergasi Itali itu.
Jurulatih berusia 66 tahun itu dilantik pada Khamis lepas menggantikan Igor Tudor yang dipecat selepas skuad Bianconeri itu hanya mencatatkan lapan perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.
Juventus kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Napoli iaitu pasukan yang pernah dipimpin Spalletti menjulang kejuaraan Scudetto pertama mereka dalam tempoh 33 tahun.
“Saya harap kami masih boleh kembali dalam perlumbaan Scudetto, kenapa tidak?
"Itu juga yang saya bincangkan dengan para pemain semalam di bilik persalinan,” kata Spalletti kepada wartawan.
“Masih ada 29 perlawanan untuk diharungi selepas sembilan perlawanan pertama musim ini, dan dalam 30 tahun karier saya, saya sudah melihat banyak keajaiban berlaku", jelasnya.
Pelantikan itu menandakan kepulangan semula Spalletti ke pengurusan kelab selepas beliau dipecat daripada pasukan kebangsaan Itali pada Jun lalu susulan permulaan buruk dalam kempen kelayakan Piala Dunia meskipun berjaya membawa Itali ke pusingan kalah mati Euro 2024.
“Kesan pertama saya di sini sangat positif. Semua orang tahu sejarah besar kelab ini dan harapan yang tinggi. Menjadi sebahagian daripadanya adalah sesuatu yang menakjubkan,” katanya.
Spalletti, yang mempunyai tatu kejuaraan Napoli di lengan kirinya, turut menenangkan penyokong bekas kelabnya yang kecewa dengan keputusannya menyertai Juventus.
“Di Naples, kami mencipta sesuatu yang luar biasa dengan corak permainan yang indah dan kejayaan besar. Saya membina hubungan istimewa dengan penyokong di sana,” ujarnya.
“Pagi tadi saya perlu ambil ujian darah, dan saya minta jururawat ambil dari lengan sebelah kanan kerana saya tak mahu apa-apa sentuh tatu itu. Saya tetap akan mempunyai ramai kawan di Naples.”
Spalletti akan memulakan tugasan pertamanya bersama Juventus menentang Cremonese, yang kini berada di tangga kelapan Serie A, pada Sabtu. - REUTERS