fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kerjasama pertahanan dengan AS

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 1 November - Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan antara agenda utama dalam hubungan pertahanan Malaysia–Amerika Syarikat adalah program pembinaan kapasiti bagi meningkatkan keupayaan negara menangani cabaran keselamatan semasa. 

Beliau berkata, jemputan ke Pentagon dijangka membincangkan keperluan kerjasama strategik, termasuk aspek sokongan teknikal dan kelulusan perolehan aset ketenteraan.

“Beberapa aset seperti pesawat F-850 LTE dan maritime patrol aircraft mempunyai komponen buatan Amerika Syarikat dan memerlukan kelulusan Washington sebelum boleh diserahkan mengikut jadual.

"Malaysia turut berminat meneroka perkongsian maklumat maritime domain awareness bagi memperkukuh keselamatan perairan negara,” katanya.

Mengulas pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, beliau berkata lebih 20 inisiatif telah diluluskan, sekali gus meletakkan penanda aras baharu kepada blok serantau itu. 

Malaysia menekankan kepentingan meneruskan nilai-nilai ASEAN yang menjadi teras kepada keamanan dan kestabilan rantau ini, termasuk kejayaan Malaysia menjadi pemudah cara dalam isu Kemboja–Thailand.

Sementara itu, dalam isu Laut China Selatan, China sekali lagi memberi komitmen mempercepat memuktamadkan Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan. Malaysia berharap perkembangan itu dapat membantu mengurus cabaran di rantau tersebut.

Mengulas mengenai isu ujian nuklear pula, beliau menegaskan pendirian ASEAN kekal jelas bahawa rantau ini mesti bebas daripada senjata nuklear dan menolak apa jua bentuk pembangunan senjata pemusnah massal.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ROSLINA BINTI DIN