MEMBAKUT, 1 November - Kerajaan sedang meneliti isu kehilangan habitat, perubahan iklim, pencemaran dan ancaman terhadap hidupan liar.
Ini dengan melaksana pelbagai inisiatif seperti menggerakkan Rang Undang-Undang (RUU) dan sesi dialog bersama pakar bagi mencari jalan penyelesaian.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kementeriannya turut memberi penekanan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial, dan kelestarian alam.
"Ini bagi memperkukuh pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negara, memperluas perlindungan biodiversiti melalui National Biodiversity Strategy and Action Plan (NBSAP).
"Selain mempercepatkan usaha mitigasi dan adaptasi perubahan iklim melalui Pelan Tindakan Iklim Negara," katanya menerusi teks ucapan yang disampaikan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin di sini.
Menurut Datuk Johari, negara turut menunjukkan komitmen di peringkat antarabangsa, termasuk pelaksanaan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).
Komitmen terbabit diterjemah melalui program di lapangan seperti pemulihan hutan paya bakau, pemeliharaan kawasan tadahan air, pengurusan sisa pepejal secara mampan dan pengurangan pelepasan karbon.