KUALA LUMPUR, 1 November - Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus perlu terus memperkukuh kepercayaan, meningkatkan keupayaan komunikasi krisis serta berdepan cabaran keselamatan baharu sejajar dengan dinamika geopolitik semasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, platform keselamatan serantau itu mesti kekal dinamik, responsif dan teguh berpaksikan prinsip dialog, ketelusan serta saling menghormati agar semangat ASEAN yang berkekalan dapat diteruskan untuk bergerak ke hadapan.
Katanya, penganjuran edisi kali ini amat membanggakan apabila mencatatkan rekod sebagai yang paling produktif sejak penubuhan ADMM dan ADMM-Plus.
Tambah beliau, sepanjang tempoh kepengerusian, Malaysia telah menandatangani dan menerima pakai sebanyak 25 inisiatif penting, jumlah tertinggi dalam sejarah platform kerjasama pertahanan serantau itu.
“Di sebalik segala formaliti mesyuarat, saya berharap anda semua turut merasai kehangatan, semangat dan hospitaliti Malaysia. Tahun kepengerusian ini bukan sekadar tentang dasar dan hasil, tetapi juga tentang persahabatan, persefahaman bersama serta meraikan keluarga ASEAN kita.
"Apabila kita melangkah ke hadapan, kita mesti mengekalkan semangat ini dengan berfikir sebagai ASEAN, bertindak sebagai ASEAN dan berkelakuan sebagai ASEAN,” katanya ketika majlis penyerahan jawatan Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus kepada Filipina, hari ini.
Menurut beliau, ADMM dan ADMM-Plus merupakan simbol komitmen berterusan negara anggota terhadap prinsip "ASEAN Didahulukan" dengan mengekalkan perpaduan, kesepakatan dan solidariti dalam menangani cabaran keselamatan semasa.
"Kita sudah menghimpunkan 603 delegasi dari 19 negara, satu pertemuan besar yang mencerminkan kepelbagaian idea, budaya dan pandangan. Dari peringkat perbincangan kerja hingga ke mesyuarat pegawai kanan, dan seterusnya ke pertemuan menteri minggu ini, kerjasama kita menjadi mendalam, bermakna dan menginspirasikan," katanya.
Khaled berkata, mesyuarat tahun ini turut mencapai pelbagai hasil penting bagi memperkukuh kerjasama pertahanan serantau, meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan serta memperteguh peranan ASEAN sebagai teras kestabilan dan keamanan di rantau ini.