KUALA LUMPUR, 1 November – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak memaksa Malaysia akur secara membuta tuli terhadap mana-mana syarat yang boleh menjejaskan kedaulatan negara, tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Zafrul menjelaskan perjanjian ART berdasarkan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara dan peraturan domestik.
"Hasilnya, Malaysia berjaya mendapat penurunan kadar tarif dari 25 peratus kepada 19 peratus, menjadikannya kadar terendah yang dikenakan kepada negara-negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.
"Malaysia juga berjaya memperoleh pengecualian daripada tarif 19 peratus ini bagi 1,711 barisan tarif (tariff lines) ke atas produk eksport utama, termasuk minyak sawit, barangan getah, produk koko, komponen pesawat, dan farmaseutikal, yang menyumbang kolektif sehingga RM22 bilion (USD5.2 bilion)," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Jelas beliau, jika Malaysia menolak perjanjian ini, Kerajaan AS dijangka menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal 24 peratus atau kadar yang jauh lebih tinggi.
"(Mungkin) 30 peratus, 40 peratus, 50 peratus, malah 100 peratus. Ini secara langsung akan melumpuhkan daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS.
“Frasa-frasa utama seperti mengikut undang-undang dan peraturan domestik serta dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak jelas menunjukkan Malaysia kekal mempunyai ruang undang-undang dan autonomi diplomatik dalam mengurus sebarang tindakan,” katanya.
Menurut Zafrul, Artikel 5.1 berhubung tindakan sekatan terhadap negara ketiga tidak memaksa Malaysia meniru setiap langkah AS, sebaliknya hanya terpakai jika isu itu menyentuh kebimbangan ekonomi bersama (shared economic concern).
Bagi Artikel 3.4 mengenai pencegahan pemindahan teknologi secara paksa, beliau menjelaskan bahawa ia merupakan peruntukan standard dalam kebanyakan perjanjian perdagangan antarabangsa, bertujuan melindungi syarikat daripada dipaksa menyerahkan rahsia dagangan atau kod sumber kepada kerajaan.
“Artikel 3.4.2 secara jelas membenarkan Kerajaan Malaysia mengakses kod sumber dan teknologi proprietari bagi tujuan pengawalseliaan serta perundangan yang sah, termasuk penyiasatan dan memastikan kestabilan sistem kewangan,” katanya.
Mengulas dakwaan mengenai Artikel 5.2 (kawalan eksport strategik), Tengku Zafrul menegaskan Malaysia kekal mempunyai kuasa penuh melalui Akta Perdagangan Strategik 2010, yang sudah pun menjadi asas kawal selia perdagangan strategik sebelum ART diwujudkan.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa Artikel 5.3 memberi akses automatik kepada AS terhadap data kastam negara.
Katanya, semua perkongsian data mesti melalui proses peraturan domestik dan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang Malaysia.
Dalam masa sama, Zafrul turut menjelaskan bahawa Artikel 6.1.3 berkaitan komitmen pelaburan dan perolehan tidak melibatkan dana kerajaan sebaliknya keputusan komersial syarikat masing-masing.
“Komitmen pelaburan dan perolehan adalah berdasarkan perancangan perniagaan sedia ada oleh syarikat multinasional dan GLC. Contohnya, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group diumumkan pada Mac 2025, sebelum tarif diumum oleh Presiden Trump,” katanya.
Menyentuh isu nadir bumi (REE) di bawah Artikel 6.2, Zafrul menegaskan Malaysia kekal tegas dengan dasar melarang eksport REE mentah bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan dan mengekalkan nilai tambah dalam negara.
"Ini bermakna nilai tambah, pekerjaan berkemahiran tinggi, dan teknologi pemprosesan mesti diwujudkan dan kekal di Malaysia. Kita tidak akan kembali menjadi negara yang sekadar menggali dan menjual bahan mentah dengan harga murah.
"Semua pelaburan dan pelaksanaan di bawah ART akan tertakluk kepada undang-undang serta dasar Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa AS kekal sebagai antara rakan dagang dan pelabur terbesar negara, dengan pelaburan diluluskan mencecah RM10.4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, manakala jumlah kumulatif sehingga 2024 sebanyak RM218.2 bilion.