KUALA LUMPUR 1 November - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa mana-mana negara yang ingin menjalin hubungan dengan ASEAN perlu menghormati pendirian dan konsensus serantau yang menjadi asas kepada keamanan serta kestabilan rantau ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled menekankan bahawa kekuatan sebenar ASEAN terletak pada solidariti dan tindakan bersama dalam menghadapi cabaran geopolitik serta tekanan kuasa besar mengenai perkembangan keselamatan di Laut China Selatan.
"Sekiranya mana-mana negara anggota berdepan tekanan atau ancaman, seluruh ASEAN perlu bersatu mempertahankannya, sekali gus menghantar mesej jelas bahawa rantau ini mempunyai pendirian bersama dalam menjaga keamanan dan kestabilan," katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Mengulas pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menyifatkan kejayaan memudah cara perdamaian antara Thailand dan Kemboja sebagai antara kejayaan terbesar tahun ini, selain penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus) yang dianggap teratur dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, para petugas media serta semua pihak yang menjayakan persidangan tersebut, termasuk dalam memperkukuh kesedaran rakyat mengenai kepentingan keselamatan dan pertahanan serantau.