fb fb fb fb fb

AS tegas kekal komited di Indo-Pasifik - Pete Hegseth

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 1 November - Amerika Syarikat (AS) menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan penting di rantau Indo-Pasifik, dengan menekankan bahawa kehadiran dan hubungan strategik negara itu dengan sekutu serantau tidak pernah terhakis.

Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth berkata Washington sentiasa menjadi sebahagian daripada rantau ini dan akan terus mengekalkan penglibatan aktif dalam memastikan kestabilan serta keselamatan bersama.

“Kami sudah lama menjadi negara Pasifik. Kami tidak pernah hilang dari rantau ini dan tidak akan ke mana-mana," katanya
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Mengulas mengenai ujian nuklear, Hegseth berkata AS mempunyai keupayaan pertahanan yang kukuh dan langkah ujian senjata itu adalah sebahagian daripada keperluan strategik yang bersifat berhati-hati.

“Kami mempunyai keupayaan nuklear yang sangat berdaya saing, dan mengujinya adalah sesuatu yang wajar dilakukan,” ujarnya ringkas.

Tambahnya lagi, kunjungannya ke Malaysia disifatkan sebagai satu penghargaan terhadap hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Kami berada di sebuah negara yang indah, dengan rakyat yang mesra. Kami gembira dapat berada di sini,” katanya.

Kehadiran Hegseth di Malaysia dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau antara Washington dan negara-negara ASEAN.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM