TAPAH, 1 November - Seorang lelaki ditemukan mati lemas di kawasan peranginan Air Terjun Lata Kinjang, Chenderiang, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya, mangsa berusia 33 tahun dari Sabak Bernam, Selangor dikatakan ke lokasi berkenaan bersama rakannya untuk aktiviti mendaki dan mandi di kawasan air terjun.
Pada kira-kira pukul 2.50 petang, rakannya menyedari kehilangan mangsa sebelum menemukannya dalam keadaan meniarap di permukaan air.
Usaha memberikan bantuan kecemasan dilakukan, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang reaksi sebelum bantuan kecemasan dihubungi.
Mangsa dibawa turun dari kawasan air terjun oleh pasukan bomba dan polis sekitar pukul 8.30 malam.
Pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hasil bedah siasat di Hospital Tapah mendapati punca kematian adalah akibat lemas.