IPOH, 1 November - Kerajaan Perak sedang memantau lebih 3,000 unit rumah yang masih belum terjual di seluruh negeri itu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, usaha itu dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar dan memperkemas strategi pembangunan perumahan di Perak.
Antara faktor penyumbang termasuk projek perumahan baru dan berskala besar; kajian pasaran dan demografi kurang tepat serta isu kelayakan pinjaman bank.
"Sebelum ini, dalam laporan kita mengambil kedudukan yang agak ke hadapan. Kita juga ada agensi kerajaan, REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) dan sebagainya yang melihat semula statistik serta strategi untuk mengurangkan isu tersebut.
"Pada satu pihak, kita dengar ramai yang ingin memiliki rumah tetapi tiada rumah yang sesuai. Namun, dalam masa yang sama, ada juga rumah yang tidak terjual.
"Jadi, kita ingin menilai semula perkara ini kerana penyelarasan atau matching antara permintaan dan penawaran sangat penting," katanya.
Katanya pada sidang media Expo Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2025 di sini.
Mengulas sasaran pembinaan 57,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030, beliau memaklumkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) kini sedang membangunkan dashboard pemantauan berpusat bagi menjejak status projek perumahan di seluruh negeri secara masa nyata.
Langkah itu akan membantu kerajaan negeri menyusun semula strategi dan memastikan pembangunan perumahan seimbang dengan keperluan rakyat di setiap daerah.