fb fb fb fb fb

Lebih 80 peratus graduan TVET RETI dapat kerja sebelum tamat pengajian

Foto hiasan/ BERNAMA

KEMAMAN, 1 November - Lebih 80 peratus graduan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI), di Kemaman telah berjaya mendapat pekerjaan sebelum menamatkan pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif RETI, Syafiq Asraf Mohd Yusup berkata, jumlah itu meningkat sepuluh peratus berbanding tahun lalu sekali gus membuktikan graduan institut itu diterima bekerja sebelum tamat pengajian.

Beliau berkata, ramai pelajar institut itu ditawarkan pekerjaan sejurus selesai menjalani latihan amali di pelbagai sektor industri dalam bidang TVET seperti sektor maritim dan perkapalan. 
 
Perkembangan itu juga membuktikan institut berkenaan telah mendapat tempat dan menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mempelajari bidang TVET.

"Orang ramai, graduan-graduan dan pelajar-pelajar yang mungkin tidak dapat sambung belajar dan berminat untuk sambung dan kita tidak mahu ada pelajar-pelajar yang tercicir, itu objektif kita yang sebenar.

"Kita sama-sama dengan rakan industri, pemain-pemain industri. Macam mana kita boleh berkolaborasi kita perbanyakkan lagi", katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen RETI dan Ranaco Marine Sdn Bhd kali ke 14, di Dewan Pusat Latihan Darul Iman (DITC), Kemaman hari ini.

Katanya, RETI akan mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pemain industri untuk menaja lebih ramai pelajar lepasan SPM yang kurang mampu untuk mempelajari bidang TVET di institut berkenaan.
 
Pada majlis itu, seramai 583 graduan menerima sijil kemahiran dan diploma dalam bidang TVET yang disempurnakan Canselor RETI, Kapten Abdul Aziz Abdullah.
 
Sementara itu, pelajar terbaik jurusan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang menerima Anugerah Khas Kapten Ramlan 2025, Puteri Nurul Liyana Ibrahim berkata beliau memilih bidang TVET kerana ianya mempunyai pasaran kerja yang luas.

"Untuk program TVET ini ia terbuka luas, fokus kepada kemahiran dan kerjaya salah satu syarikat tempatan, TVET jadi ia sangat membantu rakan-rakan saya yang lain dalam bidang yang saya ceburi ini", katanya.

Puteri Nurul Liyana sebelum ini terpilih menjalani latihan amali di sebuah syarikat minyak dan gas di Kemaman dan telahpun diterima bekerja di syarikat sama sebelum menamatkan pengajian.

ROSLINA BINTI DIN