KUALA LUMPUR, 1 November - Tiada mangsa terlibat dalam kejadian kebakaran hutan di Jalan Utama Bukit Sri Gombak, Gombak, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kebakaran hutan seluas kira-kira empat ekar itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.12 pagi.
JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.57 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.16 pagi.
Sementara Komander Operasi, PBK II KUP Izani Mohd Zin berkata, operasi pemadaman melibatkan dua aliran air daripada pam jentera serta dua pancutan nozzle bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.00 pagi. Operasi turut membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Gombak,” katanya dalam kenyataan hari ini.