KUALA LUMPUR, 1 November – Malaysia secara rasmi menyerahkan tugas sebagai pengerusi pertahanan ASEAN kepada Filipina dalam satu majlis penyerahan di ibu negara pada Sabtu, di mana Filipina akan menjadi tuan rumah bagi siri mesyuarat pertahanan serantau tahun hadapan.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh negara anggota Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth.
Lawatan Hegseth ke Asia Tenggara berlangsung tidak lama selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengejutkan dunia dengan pengumumannya di media sosial bahawa beliau telah mengarahkan tentera AS untuk “memulakan ujian senjata nuklear”.
Trump menegaskan langkah itu perlu bagi memastikan Amerika Syarikat tidak ketinggalan berbanding Rusia dan China.
Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn, pada Jumaat menegaskan bahawa ASEAN kekal konsisten menentang penggunaan senjata nuklear, serta terus berusaha mendapatkan komitmen daripada semua negara pemilik senjata nuklear untuk mengiktiraf Zon Bebas Senjata Nuklear di Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat dilihat terus memperkukuh kehadirannya di rantau ini bagi menyaingi pengaruh China yang semakin meningkat.
Trump sebelum ini, pada Ahad lalu menyatakan kepada para pemimpin ASEAN bahawa Washington “bersama anda 100 peratus dan berhasrat menjadi rakan strategik yang kukuh untuk generasi akan datang.” -REUTERS