KAHERAH, 1 November -Setelah sekian lama tertangguh, Kaherah akhirnya bersedia membuka ‘Grand Egyptian Museum’ (GEM) pada Sabtu.
Pojek bernilai berbilion dolar itu diharap dapat merancakkan semula sektor pelancongan di negara itu dan menyokong ekonomi negara yang kian mencabar.
Majlis perasmian yang dijadual bermula pukul 7.30 malam waktu tempatan dan akan dihadiri oleh 79 delegasi, termasuk 39 ketua negara dan kerajaan, menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir.
Antara negara yang menghantar wakil ialah Jerman, Jepun, Arab Saudi, Belgium, Sepanyol dan Denmark.
Terletak di atas cerun yang menghadap Dataran Tinggi Giza, tidak jauh dari bayangan piramid, muzium itu dibina dengan sokongan kewangan dan teknikal daripada Jepun serta meliputi kawasan hampir setengah juta meter persegi.
Menurut pegawai Mesir, GEM menempatkan lebih 100,000 artifak purba, dengan separuh daripadanya akan dipamerkan menjadikannya koleksi terbesar di dunia yang dikhususkan kepada satu tamadun.
Di bahagian dalam, pelawat akan melangkah masuk ke dewan luas yang diterangi cahaya semula jadi, dengan silin tinggi dan dinding batu berwarna pasir yang menggambarkan suasana padang pasir di sekitarnya.
Di tengah atrium utama berdiri patung gergasi Ramses II seberat 83 tan, firaun yang memerintah Mesir selama 66 tahun dan dikenali sebagai pemerintah pada zaman kegemilangan empayar itu.
Berbeza dengan Muzium Mesir lama di tengah Kaherah yang padat dan usang, GEM menampilkan galeri interaktif, sistem pencahayaan canggih, pameran realiti maya serta muzium khas untuk kanak-kanak.
Antara tarikan utama ialah makmal pemuliharaan terbuka, pelawat boleh menyaksikan sendiri kerja penyelidikan dan pembaikan artifak, termasuk kapal solar berusia 4,500 tahun yang ditemukan berhampiran Piramid Khufu dipercayai digunakan untuk membawa roh firaun bersama dewa matahari, Ra.
Tumpuan utama sudah tentu kepada koleksi Raja Tutankhamun, yang terdiri daripada lebih 5,000 artifak, sebahagiannya dipamerkan bersama buat kali pertama dalam sejarah.
Butiran mengenai topeng emas ikonik firaun muda itu masih dirahsiakan.
Grand Egyptian Museum akan dibuka kepada orang awam pada Selasa, mempamerkan ribuan artifak pengebumian dan sejarah Mesir purba yang sebelum ini disimpan di pelbagai lokasi di seluruh negara. - AFP