fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman hari ini

Foto Bernama

RIYADH, 4 November - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijadual mengadakan perjumpaan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Al-Yamamah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim akan disambut dengan istiadat sambutan negara di istana berkenaan sempena lawatan negara selama empat hari ke Arab Saudi, yang turut disusuli dengan majlis santapan negara.

Mengiringi Seri Paduka dalam lawatan ini ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Seri Paduka Baginda tiba di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam. Kunjungan ini merupakan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak lawatan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.

Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Kenyataan itu memaklumkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 lawatan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM44.74 bilion (USD$9.79 bilion).

Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.

Lawatan ini merupakan lawatan negara kelima oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei dan Rusia.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH