fb fb fb fb fb

Serbuan dua premis barangan tiruan, 11,381 unit barangan disita - KPDN

SEGAMBUT, 2 Februari- Sebanyak 11,381 unit barang tiruan dengan anggaran nilai RM250,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur.

Sitaan dibuat menerusi operasi serbuan terhadap dua premis di ibu negara di Jalan Haji Taib, Chow Kit dan stor simpanan di Pandan Perdana.

Kesemua barangan dirampas kerana melanggar Akta Cap Dagangan 2019.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata serbuan turut disertai wakil cap dagangan dilakukan pada pukul 3.00 petang, 30 Januari lalu.

Seorang pemilik premis dan dua pekerja warganegara tempatan berusia 30 hingga 40 tahun berjaya ditahan.

"Sebelum kita lakukan serbuan, kita dah hantar dah lakukan risikan awal. Kita hantar pasukan kita sendiri selama dua minggu untuk memantau syarikat ini dan kita dapati ia ada kaitan antara premis di Chow Kit dan Pandan Perdana," kata Ariffin kepada pemberita RTM dalam satu sidang media KPDN KL di Segambut.


(Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin bersama beberapa pegawai lain
menunjukkan barangan tiruan yang disita kepada media)

Bagi kesalahan tersebut, pemilik boleh dikenakan hukuman penalti sehingga RM15,000 bagi setiap barangan.

Premis itu dipercayai telah beroperasi selama lebih lima tahun menjual dan membekalkan barangan tiruan seperti beg, dompet dan beg tangan berjenama terkenal.

Barangan tiruan yang dijual diperolehi dari negara China bagi tujuan persediaan penjualan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sepanjang tahun 2022, sebanyak 125 kes direkdokan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 Dan Akta Hak Cipta 1987, dengan nilai rampasan RM4.5 juta melibatkan sitaan 178,918 unit barangan.

Media Baharu