KUALA LUMPUR, 13 Jun - Tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran menimbulkan tanda tanya terhadap rundingan berprofil tinggi antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS) berhubung program nuklear.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berpendapat, langkah Washington yang membiarkan Israel menyerang Iran seolah-olah memberi sokongan kepada tindakan ketenteraan itu.
Sekali gus menggugat peluang penyelesaian diplomatik yang sedang dirintis melalui rundingan nuklear.
"Iran yang merupakan anggota sah kepada perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) komited dalam proses rundingan. Sebaliknya, Israel yang dipercayai memiliki senjata nuklear, bukan ahli perjanjian itu," katanya.
Sehubungan itu, tindakan ekstrem terhadap Iran tanpa provokasi dipersoal.
"Israel sebelum ini sering mendakwa tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas terhadap ancaman, namun pilihan itu sebenarnya wujud dengan membenarkan proses diplomatik berlangsung sehingga selesai," jelas beliau.
Beliau turut menyifatkan tindakan AS sebagai tidak bertanggungjawab kerana gagal menghalang serangan berkenaan.
"Langkah itu dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan keselamatan rantau Asia Barat, tetapi bakal terjerumus dalam konflik yang lebih besar," tambah beliau.