KUALA LUMPUR, 13 Jun– New Energy Asia Sdn Bhd, usaha sama yang baru ditubuhkan antara HICOM Engineering Sdn Bhd (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd. (HFC) China disifatkan sebagai langkah penting dalam mempercepat agenda peralihan tenaga negara, khususnya dalam pembangunan peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama ini juga akan menyumbang secara langsung kepada pencapaian sasaran negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.
“Ini satu kerjasama yang baik antara syarikat Malaysia dan China, khususnya dalam pembangunan pengecasan EV. Kita memang beralih ke arah peralihan tenaga, dan komitmen kita terhadap pelepasan karbon sifar pada 2050 telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran rasmi New Energy Asia, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, menerusi kerjasama ini, ia membolehkan HESB dan HFC memanfaatkan kepakaran industri masing-masing, memperkukuh jenama serta keupayaan operasi bagi menawarkan penyelesaian pengecasan EV yang boleh dipercayai dan cekap di rantau ini.
Langkah tersebut akan membantu meningkatkan jualan kereta EV di negara ini dan mencapai sasaran dari segi stesen pengecasan termasuk pemuliharaan alam sekitar
“Dengan penyertaan lebih banyak syarikat seperti ini, saya yakin ia akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan di seluruh negara. Ini akan membantu meningkatkan penggunaan kenderaan EV di Malaysia,” ujarnya.
“Kerajaan menyokong penuh inisiatif seperti ini kerana ia menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk negara,” katanya lagi.
Beliau juga optimis sasaran 10,000 stesen pengecasan EV menjelang 2025 dapat dicapai lebih awal dengan penglibatan pemain industri yang semakin bertambah. Setakat ini lebih 4,000 stesen pengecasan telah dibangunkan.