fb fb fb fb fb

1,298 sekolah di Sabah terlibat Kempen Internet Selamat

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hadir pada majlis KIS di Sekolah Menengah Holy Trinity, Tawau.

TAWAU, 13 Jun - Sebanyak 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah akan terlibat dalam Kempen Internet Selamat (KIS).

Sekolah Menengah Holy Trinity, Tawau, menjadi sekolah menengah pertama di daerah ini bagi pelaksanaan KIS dengan penyertaan seramai 290 pelajar.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kempen tersebut mengguna pakai modul pelajar sekolah menengah 13-17 tahun.

Kempen secara berperingkat itu akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian bagi murid sekolah menerusi pendekatan pendidikan yang bersesuaian.

"Objektif modul ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan keselamatan Internet, termasuk risiko terhadap diri sendiri dan tanggungjawab pengguna Internet yang lain serta kesan jangka panjang penggunaan Internet.

"Melalui modul ini, para pelajar diharap dapat membezakan antara maklumat sahih dengan palsu di Internet dengan mengenal pasti ciri-ciri fakta dan auta, serta menilai risiko mendedahkan maklumat peribadi secara terbuka dalam talian.

"Mereka juga akan dapat mengenal pasti tanda-tanda pengantunan seksual dalam talian dan lebih bersedia dengan strategi perlindungan kendiri," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, pelajar juga diharap dapat mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kritikal dan empati untuk membuat keputusan yang selamat dan bertanggungjawab ketika berinteraksi di Internet.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Sabah, hadir pada majlis KIS di Sekolah Menengah Holy Trinity, Tawau.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI