KUALA LUMPUR, 13 Jun – Karnival Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Sunway Putra Mall, bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai, malah turut menarik minat pelajar jurusan kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Mereka hadir untuk mendalami dunia media secara lebih dekat.
Bagi Kamelia Shaira Kamarudin, program sebegini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja terbuka kepada umum, malah memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu secara praktikal.
“Sebab ini tempat awam, ramai orang tertarik nak tahu apa sebenarnya karnival ini. Sebagai pelajar kewartawanan, saya sendiri dapat tambah ilmu dan juga bina hubungan,” katanya.
Sementara itu, Nureen Batrisyia Irdina Mohd Sham juga berpendapat bahawa penganjuran Karnival HAWANA mampu membuka mata masyarakat terhadap peranan penting wartawan dalam menyampaikan suara rakyat.
“Kita nak ubah persepsi bahawa wartawan ini bukan kerja sia-sia. Kita bantu rakyat untuk bersuara dan harapnya lebih ramai akan menghargai berita yang sahih,” katanya penuh semangat.
Manakala, Nurin Isabella Zulkapli turut menekankan pentingnya etika dan kreativiti dalam menghasilkan laporan, meskipun teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) semakin berkembang.
“Guna AI hanya sebagai bantuan. Jangan 100 peratus bergantung padanya. Cerita masih perlu datang dari idea kita sendiri,” ujarnya.
Karnival ini antara lain menampilkan pameran media, bengkel kewartawanan dan sesi perkongsian pengalaman bersama wartawan berpengalaman sejajar dengan matlamat memperkukuh profesion kewartawanan di era digital.
Sambutan HAWANA tahun ini bertemakan 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika' membuka tirai secara rasmi hari ini.
Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, sambutan HAWANA 2025 berlangsung bermula hari ini hingga Ahad pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.