BANGI, 13 Jun - Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menunjukkan impak ketara apabila bilangan pelajar tingkatan empat yang berisiko gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menurun.
Hanya sekitar 700 pelajar gagal tahun lepas berbanding seramai 14,000 pelajar pada tahun 2018.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kejayaan ini merupakan hasil intervensi berkesan melalui kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan Negeri, agensi kerajaan negeri dan sokongan penuh Kerajaan Selangor.
Beliau turut mengumumkan penambahan RM1 juta peruntukan PTRS tahun ini.
"Peruntukan tambahan ini bakal memberi manfaat kepada 20,000 hingga 30,000 pelajar tingkatan empat dan lima dengan sasaran mereka dapat mengikuti PTRS secara lebih menyeluruh termasuk sesi pengukuhan akademik dan sokongan motivasi.
Sehubungan itu, beberapa pertambahan inisiatif dan langkah intervensi bakal diumumkan dalam Belanjawan Negeri nanti," katanya.
Datuk Seri Amirudin ditemui selepas majlis pra perasmian program Selangor Techsphere Summit 2025 di Bangi.
Menerusi penstrukturan baharu ekosistem pendidikan negeri, Yayasan Selangor kini diberi mandat menyelaras keseluruhan program pendidikan merangkumi pendidikan rendah, menengah dan tinggi menuju ke arah Belanjawan Selangor 2026.
Antara tumpuan utama termasuk memperkukuh minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pemantapan intervensi awal bagi mengurangkan pelajar yang berisiko gagal SPM.
Program Didik Kasih mencerminkan iltizam Selangor untuk memastikan tiada pelajar tercicir dan setiap anak negeri mendapat peluang pendidikan terbaik, sejajar hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri rujukan dalam reformasi pendidikan.