fb fb fb fb fb

HAWANA 2025: Perkukuh peranan media dalam masyarakat

Timbalan KSU (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran menyempurnakan perasmian HAWANA 2025 di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh peranan media sebagai pemacu literasi maklumat serta jambatan penghubung antara media dan masyarakat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata HAWANA 2025 membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dunia kewartawanan secara lebih dekat melalui pelbagai program yang diatur.

“Sejak diperkenal pada 2018, HAWANA telah menjadi simbolik kepada pengiktirafan peranan wartawan dalam membentuk pemikiran rakyat, memperjuang kebebasan bersuara serta menjadi penyampai suara masyarakat.

Platform ini juga berpotensi menjadi medan ilmu ke arah pembentukan masyarakat Malaysia MADANI yang lebih peka, bermaklumat dan bertanggungjawab dalam menyaring maklumat,” katanya ketika merasmikan Karnival HAWANA 2025 di Sunway Putra Mall.

Karnival tersebut menampilkan pelbagai acara interaktif seperti sesi bual santai bersama agensi, kuiz, serta sesi ‘Meet & Greet’.

Tidak ketinggalan, beberapa forum dan bengkel turut diadakan melibatkan topik penulisan kreatif, fotografi, 'podcasting' dan literasi media yang menyasarkan penyertaan golongan remaja dan warga emas.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman sebenar dunia penyiaran menerusi reruai khas Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Karnival dan Pameran HAWANA 2025 dibuka kepada orang ramai bermula hari ini hingga Ahad.

"Orang ramai dipelawa untuk mengunjungi kedua-dua acara ini dan kita berharap dapat menarik lebih 5,000 pengunjung untuk mengenali dunia media dengan lebih dekat," katanya.

NORAINI BINTI WAHIB