KUALA LUMPUR, 13 Jun - Pengamal media di Malaysia dilihat mempunyai kebebasan dalam melaporkan sebarang maklumat kepada masyarakat.
Pada masa sama, menurut Pensyarah Kanan KIMEP University, Republik Kazakhstan, Profesor Madya Dr. Azian Muhammad Adzmi, kebebasan itu penting dikawal selia oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
"Kita (Malaysia) berada di tengah model liberal dan demokratik. Ini bermaksud pengamal media masih lagi mendapat kebebasan dalam menyampaikan maklumat. Pada masa sama, rakyat juga diberi kebebasan untuk menyampaikan maklumat kepada wartawan dan kerajaan.
Kita bukanlah dikawal selia sepenuhnya oleh parti-parti politik kerajaan tetapi sekurang-kurangnya mereka (kerajaan) mengawal untuk menjamin kesejahteraan rakyat supaya negara aman damai," jelasnya ketika ditemui selepas menghadiri edisi khas program Selamat Pagi Malaysia X Apa Khabar Malaysia sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Mengulas lanjut katanya, kawal selia kandungan yang dilakukan kerajaan antara tujuannya bagi memastikan isu sensitif khususnya 3R (raja, kaum dan agama) tidak disentuh mana-mana pihak.
"Di Malaysia, kita ada tiga bangsa yang majoriti Melayu, Cina dan India. Ini sangat bagus kerana kita boleh hidup dengan aman damai dalam satu negara.
"Jika kita tidak mengawal media massa, macam mana kita nak pastikan setiap kaum dapat maklumat yang sama dan adil. Disebabkan itu kita ada pelaporan dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Kebangsaan," jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai HAWANA, beliau mengesyorkan agar ia dianjurkan di peringkat global pada masa akan datang bagi membolehkan sesi perkongsian antara pengamal media khususnya berkaitan kod etika kewartawanan dan pengalaman kepakaran masing-masing.