PETALING JAYA, 13 Jun– PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengumumkan pembukaan lorong tambahan di Plaza Tol Rawang Selatan (Exit 115), yang dijangka mampu melancarkan aliran trafik menuju ke kawasan pesat membangun seperti Gamuda Gardens dan Kundang.
Lorong tambahan tersebut mula dibuka secara rasmi pada pukul 10.45 pagi dan dijangka memberi impak positif kepada aliran trafik harian, yang kini mencecah hampir 29,000 kenderaan sehari di plaza tol berkenaan.
Menurut PLUS, penambahan tiga lorong ini mampu menyuraikan sehingga 14 hingga 19 peratus trafik sedia ada terutamanya pada waktu puncak, sekali gus mengurangkan kesesakan yang sering dialami pengguna.
“Pembukaan lorong ini bukan sahaja menguntungkan penduduk Gamuda Gardens, malah turut memberi manfaat kepada komuniti di Rawang, Kundang, Sungai Buloh serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan secara keseluruhan,” kata PLUS dalam satu kenyataan.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama erat antara PLUS dengan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kerja Raya, serta pemaju perumahan, Gamuda Berhad.
PLUS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dalam merealisasikan projek ini, dan menegaskan komitmen mereka untuk terus menambah baik infrastruktur lebuh raya selaras dengan nilai korporat yang menekankan keselesaan, keselamatan dan kelestarian komuniti.