TAWAU, 14 Jun - Pelantikan pengerusi-pengerusi Lembaga Penasihat Kolej Komuniti bertujuan memastikan Kolej Komuniti dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lantikan tersebut dari kawasan setempat akan dapat mewujudkan interaksi yang baik antara pihak kementerian, khususnya Kolej Komuniti di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi.
"Sebab itu kita wujudkan kolej komuniti kerana namanya kolej komuniti ia mesti mampu berinteraksi dengan masyarakat setempat dan sebarang aktiviti yang dianjurkan juga mesti berkait rapat dengan keperluan dan kepentingan di kawasan berkenaan.
"Saya juga telah meminta kepada ketua pengarah supaya melihat keperluan di kawasan-kawasan berkenaan.” katanya.
Menurutnya terdapat keperluan untuk menyediakan tempat tinggal pelajar yang tidak disediakan sebelum ini, terutama di Sabah dan Sarawak.
"Kita hanya mewujudkan kolej komuniti itu tanpa ada keperluan tempat tinggal, tetapi ada kawasan tertentu yang difikirkan perlu untuk kita lihat semula, sebagai contoh di Sabah dan Sarawak. Tentunya ada kawasan yang memerlukan kita mewujudkan tempat tinggal di kolej-kolej berkenaan.”ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sabah di Tawau.
Kolej Komuniti juga akan meningkatkan Program TVET bagi menampung permintaan dan keperluan program itu.
Ini termasuk bidang kecerdasan buatan (AI) yang akan memberi peluang terbaik kepada lepasan Kolej Komuniti dalam pasaran kerja.
Sebelum itu, Datuk Seri Dr Zambry dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukkan sebanyak 50 ribu ringgit untuk setiap Kolej Komuniti.
Sebanyak sembilan Kolej Komuniti di Sabah diperuntuk dengan jumlah keseluruhan 450 ribu ringgit.
Pada majlis itu, seramai sembilan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Sabah dilantik untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Julai 2025 sehingga 30 Jun 2027.
Jawatankuasa tersebut berperanan antaranya memberi khidmat nasihat dalam membangun dan memperkukuh sosio-ekonomi setempat dan menggalakkan komuniti setempat bergiat aktif, menyokong peranan Kolej Komuniti serta memelihara hubungan baik dengan masyarakat.