fb fb fb fb fb

Pengeboman AS-Israel ke atas Iran satu langkah yang silap - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual dalam wawancara bersama 'France 24' yang disiarkan di platform digital/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap pengeboman bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas tapak nuklear utama Iran bulan lepas susulan konflik Gaza.

Beliau menyifatkannya sebagai satu langkah silap yang mengetepikan diplomasi dan semangat kental rakyat Iran.

Dalam wawancara bersama 'France 24' yang disiarkan di platform digital rangkaian itu, Anwar menegaskan penyelesaian isu Gaza memerlukan rundingan pelbagai hala dan adil.

“Saya tidak begitu gembira kerana saya berpendapat jalan ke hadapan hanya melalui rundingan. Mereka (AS) telah cuba memusnahkan Iran berkali-kali dan anda tidak seharusnya memandang rendah semangat kental rakyat,” katanya.

“Tindakan itu gagal mengambil kira ketabahan, keupayaan dan keteguhan rakyat Iran. Apa yang kita alu-alukan tentunya ialah gencatan senjata,” katanya.

Mengulas desakan negara-negara Barat termasuk Perancis supaya Iran menghentikan program nuklearnya, Anwar menekankan desakan itu mesti bersifat adil dan konsisten.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, beliau bertemu pemimpin Hamas untuk memudahkan dialog melalui Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, dan tiada yang salah dalam usaha mencapai perjanjian damai melalui rundingan.

Menjawab kritikan dirinya lebih lantang berkenaan Gaza berbanding perang di Ukraine, beliau menolak dakwaan dwistandard itu.

Tegasnya, Malaysia telah menyatakan pendirian dengan jelas termasuk berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk mengusahakan rundingan

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN