fb fb fb fb fb

Program Maju Usahawan Madani, tingkatkan kualiti pengurusan usahawan

Datuk Ewon Benedick (kiri) / Foto RTM

KOTA BELUD, 14 Jun - Program Maju Usahawan Madani membantu meningkatkan kualiti pengurusan usahawan seluruh negara, melalui pelbagai modul latihan berimpak tinggi dan hasil libat urus menyeluruh.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata setakat Mei seramai 1,361 usahawan telah dilatih di seluruh negara.

Ini termasuk di Sabah seramai 148 orang.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif strategik kendalian SME Bank yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bagi memperkukuh daya saing dan ketahanan usahawan dalam menghadapi cabaran ekonomi.

Program itu menyasarkan kumpulan usahawan mikro, usahawan muda, usahawan wanita dan usahawan baharu yang beroperasi kurang daripada tiga tahun.

"Saya amat pasti dengan program bimbingan oleh SME Bank melalui anak syarikatnya akan dapat meningkatkan kualiti pengurusan perniagaan oleh usahawan di seluruh negara.

"Kementerian pembangunan usahawan dan koperasi akan terus menyokong inisiatif seperti ini yang dilaksanakan oleh SME Bank dan juga agensi-agensi kementerian yang lain." katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penutupan Program Maju Usahawan Madani di Kota Belud.

Datuk Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata kerjasama padu pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, institusi kewangan dan para usahawan penting bagi membentuk ekosistem keusahawanan yang progresif, mampan dan inklusif.

Program itu disertai 40 usahawan dari pelbagai daerah termasuk Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabalu.

Ia merupakan siri kedua diadakan di Sabah selepas pelaksanaan pertama di Tawau pada bulan lepas.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ