GENEVA, 07 Julai- Projek Inklusif Digital NADI Malaysia dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025, sekali gus meraih pengiktirafan global.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kejayaan itu hasil memperkasa komuniti terpencil menerusi pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.
“Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia. Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.
"Kejayaan ini adalah milik komuniti yang telah menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik, serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan terhubung,” katanya selepas menerima anugerah tersebut pada satu majlis rasmi yang berlangsung di sini hari ini.
Inisiatif NADI Pulau Banggi memenangi kategori C4: Pembinaan Kapasiti berdasarkan kejayaannya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.
Selain itu, ia turut diiktiraf sebagai johan kategori yang sama, mengukuhkan lagi impak transformasinya.
"Kemenangan bagi projek NADI di Pulau Banggi adalah satu kemenangan buat rakyat Malaysia.
"Ia adalah satu pengiktirafan bahawa usaha di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan hanya membuahkan hasil, tetapi membantu untuk merapatkan jurang bagi warga di seluruh pelusuk tanah air, termasuk sebelum ini di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah internet yang terlalu lama membelenggu mereka," katanya.
Menurutnya, ini merupakan waktu yang tepat untuk menambah baik mutu perkhidmatan NADI seiring kejayaan meraih pengiktirafan dunia.
"Kita juga lihat projek NADI bakal menjadi contoh di banyak tempat dan bila saya bercakap dengan menteri-menteri dan memaklumkan mereka tentang usaha seperti ini, mereka berasa berminat untuk melihat inisiatif dan modul ini.
"Jadi, selain daripada mengucapkan rasa penghargaan atas kemenangan, ini adalah satu pengiktirafan di peringkat dunia. Saya juga percaya inilah masa yang baik untuk usaha menambah baik mutu perkhidmatan NADI," katanya lagi.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pelan Infrastruktur Digital Negara Malaysia, inisiatif NADI telah mewujudkan hab digital komuniti yang kini menyediakan internet berkelajuan tinggi serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada nelayan, petani, pelajar serta pemilik perniagaan kecil seterusnya melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital.
Projek itu telah mengubah kehidupan penduduk, dengan warga belia memperoleh kemahiran ICT, golongan wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka.
"Selepas ini, saya akan minta supaya suruhanjaya meneliti beberapa penambahbaikan, termasuk usaha menambah baik agar NADI ini benar-benar menjadi NADI MADANI.
"Salah satu perkara yang kita minta ialah pelaksanaan penyesuaian semula; saya mahukan lebih banyak pusat-pusat NADI ini mempunyai capaian internet yang lebih laju.
"Ramai yang kini mempunyai kelajuan 100 Mbps, tetapi ada yang telah mencapai 1 Gbps. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan seperti e-Kesihatan, dan kita mahu agar NADI MADANI yang berjumlah 1,100 di seluruh negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia," ujarnya.
NADI kini diperluas ke kawasan kurang mendapat liputan lain termasuk Pulau Mandi Darah, sekali gus diperluas ke seluruh negara menjelang 2035.
Pengiktirafan global itu mengukuhkan lagi komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan digital dengan memastikan tiada rakyat yang ketinggalan.