fb fb fb fb fb

Tambahan pelepasan cukai OKU dibawa ke Parlimen Ogos ini

Senator Dr. RA Lingeshwaran

GEORGE TOWN, 14 Jun - Cadangan tambahan jumlah pelepasan cukai kepada golongan orang kurang upaya (OKU) akan dibawa ke Parlimen, Ogos ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Dr. RA Lingeshwaran berkata, penambahan itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup selain bertujuan meringankan beban keluarga golongan tersebut.

"Saya cadangkan perlepasan cukai RM5,000 bagi keluarga mempunyai anak-anak OKU ditingkatkan kerajaan.

"Ia memandangkan jumlah itu tidak mencukupi berikutan peningkatan kos sara hidup dan keperluan yang khusus untuk penjagaan golongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program 'A Day Of Joy With The Special Needs 2025' di Persatuan Palsi Serebrum Pulau Pinang, di sini.

Menurutnya lagi, bantuan turut dicadang disalur kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu OKU secara sukarela.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN