fb fb fb fb fb

Serangan di pelabuhan Odessa sasarkan 'infrastruktur ketenteraan' Ukraine - Rusia

(Bomba memadam kebakaran di tapak serangan peluru berpandu di pelabuhan Odesa/REUTERS)

MOSCOW, 24 Julai- Serangan peluru berpandu Rusia memusnahkan "infrastruktur ketenteraan" Ukraine dalam serangan terhadap pelabuhan Laut Hitam Ukraine di Odessa.

"Peluru berpandu Kalibr memusnahkan infrastruktur ketenteraan di pelabuhan Odessa, dengan serangan ketepatan tinggi," kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova Maria Zakharova di Telegram.

Ia sebagai maklum balas kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang berkata dialog dengan Moscow semakin tidak dapat dipertahankan selepas serangan tersebut.

Zakharova berkata, serangan itu memusnahkan "bot peronda" Ukraine.

Semalam, Ukraine menuduh Presiden Rusia Vladimir Putin telah "meludah di muka" perjanjian untuk membuka sekatan eksport bijirin yang diuruskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Turkiye.

(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky/Perkhimatan Media Presiden Ukraine)

Zelensky mendakwa serangan terhadap pelabuhan Odessa menunjukkan Moscow tidak dapat menunaikan janjinya.

Turkiye bagaimanapun memaklumkan bahawa Rusia telah menafikan sebarang serangan terhadap pelabuhan itu.

"Rusia memberitahu kami bahawa mereka langsung tiada kaitan dengan serangan ini dan mereka sedang meneliti isu itu dengan teliti," kata Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar.

Sekutu Barat Ukraine termasuk Britain dan Amerika Syarikat mengutuk serangan tersebut.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata serangan itu menimbulkan "kesangsian serius terhadap kredibiliti komitmen Rusia" terhadap perjanjian yang dimeterai.

Tentera Ukraine berkata pertahanan udaranya telah menembak jatuh dua peluru berpandu jelajah tetapi dua lagi mengenai pelabuhan berkenaan. -AFP

Media Baharu