KLUANG, 25 September- Beberapa langkah dikenal pasti bagi mengatasi masalah banjir di daerah Kluang sekiranya hujan berterusan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, antara langkah tersebut termasuklah menyeragamkan sistem perparitan serta meninggikan tebing penahan air.
Beliau berkata perbincangan juga turut dilakukan melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi mengatasi situasi tersebut.
Antara kawasan yang dikenal pasti sering dilanda banjir termasuklah Kampung Padang Tembak, Kampung Paya serta Kampung Sembrong.
"Saya ingin memaklumkan satu master plan telahpun siap. Pegawai Daerah telahpun hantar pada KKDW. Saya sendiri melihat segala perancangan menyeluruh itu... untuk menyelesaikan masalah banjir keseluruhan di kawasan Kluang dan Mahkota ini. Tetapi di Daerah Kluang belum lagi, ada kelulusan itu kita akan mengejar kelulusan itu dan ia telah dihantar ke pihak yang paling tinggi.
"... Kita yakin ia tentu akan diselesaikan kerana masalah banjir ini perlu diselesaikan secara master plan yang besar", katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) angkat bagi Parlimen Pontian di Kluang.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, jentera parti di bawah Parlimen itu turut digerak bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan Dewan Negeri (DUN) Mahkota.
"Saya melihat dari sehari ke sehari semangat jentera makin kuat dan dalam tiga hingga empat hari terakhir ini, saya kira apa yang perlu dibuat ialah untuk kita memperkemaskan jentera seperti yang kita buat sekarang, jentera kita ada rancangan abc, akhirnya ia melengkapi satu sama lain... sekarang ini kita ikhtiar", katanya.
Beliau menyeru pengundi yang berada di luar kawasan DUN Mahkota agar pulang menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.
Beliau turut meluangkan masa hampir dua jam melakukan ziarah kasih sambil bertanya khabar terhadap beberapa penduduk kampung di sekitar DUN Mahkota.