NEW YORK, 25 September- Republik Sierra Leone berhasrat bekerjasama dengan Malaysia dalam menaik taraf bidang pertanian di negara itu.
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, perkara itu disuarakan Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Republik Sierra Leone, Musa Timothy Kabba semasa mesyuarat dua hala bersama di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di sini.
"Republik itu juga menzahirkan hasrat untuk meneroka kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan selain pertanian." katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Republik Slovakia, Juraj Blanar.
Pertemuan selama 30 minit itu bagi membincangkan peluang kerjasama kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan dua hala.
Musa Timothy Kabba yang mewakili kepimpinan Sierra Leone turut menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan kepada negara membangun.