fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Kedah turun kepada 3,873 orang

Penduduk terjejas ditempatkan di 27 PPS melibatkan empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena

ALOR SETAR, 25 September- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah terus menurun kepada 3,873 orang daripada 1,249 keluarga setakat pukul 1.00 tengah hari ini berbanding 5,454 orang daripada 1,745 keluarga pagi tadi.

Mengikut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) penduduk terjejas kini ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS), di empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Jumlah penduduk terjejas di daerah Kota Setar adalah seramai 2,507 orang daripada 831 keluarga yang masih ditempatkan di 15 PPS.

Daerah Pendang pula mencatatkan seramai 1,220 orang daripada 366 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Kubang Pasu seramai 82 orang daripada 27 keluarga di satu PPS dan Pokok Sena seramai 64 orang daripada 25 keluarga di satu PPS.

Sementara itu, aras air di Sungai Anak Bukit, Taman Aman Kota Setar mencatatkan bacaan 2.36 meter, melebihi tahap amaran. Manakala, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 1.52 meter.

ROSLINA BINTI DIN