fb fb fb fb fb

Seorang remaja ditahan reman, terima dua saman dalam tempoh seminggu

ALOR SETAR, 16 Julai- Bagai tidak serik walaupun telah dikenakan tindakan saman atas kesalahan trafik dalam OP Samseng Jalanan seminggu yang lalu, seorang remaja ditahan lagi awal pagi tadi dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Setar di lokasi berlainan.

Namun kali ini remaja berkenaan bukan sahaja disaman dan motosikal disita, malah turut ditahan reman bagi tujuan siasatan bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam operasi OP Samseng Jalanan sekitar pukul 4 pagi tadi, sekumpulan remaja bermotosikal dikesan melakukan aksi menunggang secara berbahaya dan berlumba sesama sendiri di sepanjang Jalan Pegawai Persiaran Sultan Abdul Hamid.

Polis telah membuat kepungan dengan menutup semua laluan di kawasan itu menyebabkan kesemua 60 motosikal ditunggang dan dibonceng oleh 80 individu gagal meloloskan diri.

(Polis Daerah Kota Setar)

Kesemua mereka berjaya ditahan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, 85 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik manakala 15 buah motosikal disita untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Ahmad Shukri menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau kegiatan anak mereka di luar rumah terutama pada lewat malam, agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah.

Media Baharu