fb fb fb fb fb

11 PATI ditangkap PGA, tiada pengenalan diri

PASIR MAS, 16 Julai- 11 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar ditahan polis dalam dua kes berasingan di Pasir Mas Kelantan, malam tadi.

Mereka ditahan sepasukan pegawai bersama anggota Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah maklumat pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pada kes pertama pukul 8.30 malam, sepasukan pegawai bersama anggota Risik Batalion 7 PGA membuat serbuan ke atas sebuah rumah tinggal di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Pasir Mas dan mendapati lima lelaki berumur 15 hingga 27 tahun warganegara Myanmar berada di dalam rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri memasuki negara ini.

Kesemua migran ditahan dan di bawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut," kata Datuk Muhammad Zaki kepada pemberita RTM.


(Enam PATI ditangkap tanpa dokumen pengenalan diri di kawasan Jalan Kampung Lubok Kawah)

Seterusnya, semasa rondaan sepasukan pegawai bersama anggota Strike Force C Batalion 9 di kawasan Jalan Kubang Pak Hitam, Jeram Perdah muncul sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Setelah menyedari kehadiran pihak polis, kenderaan tersebut memecut laju menuju ke arah Meranti.

Setibanya di kawasan Jalan Kampung Lubok Kawah, pihak polis mendapati kenderaan tersebut berada di tepi jalan dan pemandunya gagal di kesan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam lelaki berumur 19 hingga 36 tahun warganegara Myanmar dan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri memasuki Malaysia.

Kesemua rampasan dan tangkapan migran dibawa ke Balai Polis Bakong, Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Semakan ke atas pemilik kenderaan dapati didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Seri Kembangan, Selangor.

Kesemua tangkapan PATI ditahan di lokap polis IPD Pasir Mas di bawah Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959 /63 (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warga asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 55E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Media Baharu