KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 September ini, bersama rakan sejawat dari Thailand, Filipina dan Indonesia.
Lawatan bertujuan menilai situasi semasa susulan penamatan pentadbiran junta dan pembatalan perintah darurat di negara itu.
“Kita ingin melihat sendiri bagaimana struktur pentadbiran baharu Myanmar, memandangkan pentadbiran junta telah dibubarkan dan perintah darurat turut ditamatkan.
“Mereka telah menyatakan dengan jelas bahawa Myanmar akan mengadakan pilihan raya. Ini selaras dengan perlembagaan mereka dan sebab itu mereka tidak menyambung lagi perintah darurat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari ASEAN ke-58 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menurut beliau, lawatan itu juga penting bagi meneliti sama ada pilihan raya yang dirancang akan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di 63 kawasan yang masih dikuatkuasakan di bawah perintah darurat oleh Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara.
“Walaupun perintah darurat di peringkat nasional telah ditamatkan, masih terdapat 63 kawasan yang diletakkan di bawah penguatkuasaan NDSC. Jadi kita mahu tahu bagaimana proses pilihan raya akan dilaksanakan di kawasan-kawasan ini,” jelasnya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan pihak junta Myanmar mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi mengendalikan pilihan raya umum yang akan diadakan hujung tahun ini, sekali gus menamatkan perintah darurat yang berkuat kuasa sejak rampasan kuasa pada 2021.##