PUTRAJAYA, 8 Ogos - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (K-P-K-T), akan meneliti kelayakan mangsa kebakaran di Pantai Dalam, Kuala Lumpur untuk menerima bantuan di bawah Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keputusan pemberian bantuan akan dibuat sebaik laporan penuh diterima bagi memastikan setiap mangsa yang layak mendapat pembelaan sewajarnya.
"Kerajaan akan mengkaji sama ada rumah yang terjejas layak diberi bantuan di bawah Tabung Bencana Perumahan Negara. Selepas laporan penuh diperoleh, pengumuman akan dibuat dan tindakan akan diambil segera."
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Semarak Jiwa Merdeka @ KPKT 2025 di Putrajaya.
Tabung yang diwujudkan awal tahun itu bertujuan membaik pulih atau membina semula kediaman yang rosak akibat bencana.
Dalam insiden kebakaran yang berlaku malam tadi, sebanyak 14 buah rumah terlibat dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80% yang turut merebak ke empat buah premis kedai berhampiran.##