(Keadaan kenderaan mangsa yang terbabas di LPT2)
KEMAMAN, 1 April- Seorang lelaki maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, Terengganu, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Wang, Kuala Terengganu itu dalam perjalanan untuk berbuka puasa dan membeli baju raya di sini sebelum terlibat kemalangan di Kilometer (KM) 325.3 dekat susur keluar plaza tol Kerteh, kira-kira pukul 3.40 petang.
Katanya, kereta jenis Honda City yang dipandu oleh mangsa maut Mohamad Fakrul Alias, 32, dipercayai hilang kawalan ketika cuba mengelak beberapa kon penyelenggaraan lebuhraya sebelum merempuh besi pembahagi jalan.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan berjaya dikeluarkan dari kereta yang remuk melalui pintu belakang dalam keadaan pendarahan teruk serta sukar bernafas.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia susulan kecederaan parah.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Hanyan Ramlan berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
(Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk bedah siasat)