fb fb fb fb fb

Seorang maut, lima cedera disyaki berlumba haram

 (Seorang penunggang motosikal maut, manakala lima lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 187.7
Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan)

BUKIT MERAH, 15 Januari- Seorang penunggang motosikal maut, manakala lima lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 187.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang berusia 20 tahun dan lima penunggang lain itu dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram.

Jelasnya, ketika kejadian, kesemua motosikal dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala Bukit Merah.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping dan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut, manakala mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat," katanya.

Mohd Yusri berkata kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kerian, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 05-7210539 atau 013-6200564.

"Polis Perak menasihati pengguna jalan raya khususnya golongan remaja supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan pengguna yang lain.

"Sebarang maklumat mengenai kegiatan lumba haram boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di talian 05-2451222 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kerian di talian 05-7212222," katanya.

 (Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kerian,
Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi 
di talian 05-7210539/013-6200564
untuk membantu siasatan)

Media Baharu