fb fb fb fb fb

Status Sarawak, Sabah sebagai wilayah dibincang 19 Januari ini

KUCHING, 15 Januari- Status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah akan dibincangkan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak yang dijadualkan pada 19 Januari ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perubahan status kedua-dua negeri itu sebagai wilayah buat masa ini adalah pada peringkat cadangan sahaja.

"Kerajaan Persekutuan akan diminta untuk memuktamadkan sama ada kedua-dua negeri tersebut akan diwartakan sebagai wilayah dalam mesyuarat itu yang turut melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita di sini.

Anwar dijangka mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Sarawak pada 18 dan 19 Januari ini, lawatan pertama beliau ke Sarawak sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas

Jumaat lepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung parti itu berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, namun tidak menyatakan sejak bila status berkenaan berkuat kuasa.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu