fb fb fb fb fb

Seorang lagi penunggang motosikal maut di LPT2, Terengganu

Maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan

KEMAMAN, 22 Ogos – Seorang lagi penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) di Kemaman petang tadi.

Kemalangan berlaku pada pukul 5.25 petang di Kilometer 299.9 LPT2, berhampiran susur masuk ke Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Kijal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Dalam kemalangan itu, mangsa, Muhammad Nur Alif Hakim Mohd Ali, 28, berasal dari Batu Pahat, Johor, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Sejurus tiba di lokasi, motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya.

Ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan, dipercayai selepas menghadiri Himpunan RXZ Member 2025 di Kuala Terengganu.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, dua penunggang motosikal yang juga peserta himpunan berkenaan maut dalam dua kemalangan berasingan di Dungun dan Hulu Terengganu pada pukul 12 tengah hari.

HASRON BIN HASSAN