fb fb fb fb fb

Seorang lagi mangsa bot nelayan TFA 124 ditemukan

(Foto Ihsan APMM)

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah menemukan satu mayat yang dipercayai salah seorang daripada dua mangsa tragedi bot nelayan tempatan karam bernombor pendaftaran TFA 124 yang masih hilang.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli dalam satu kenyataan memaklumkan, jasad yang dipercayai mangsa bot nelayan karam itu ditemukan di kedudukan 9.4 batu nautika utara Pulau Redang pada jam 12.00 tengah hari.

"Maritim Malaysia menerima laporan daripada sebuah bot nelayan tempatan tempatan kira-kira pukul 11.00 pagi mengenai penemuan jasad itu.

"Susulan itu, aset maritim KM BAGAHAK yang sedang beroperasi diatur gerak ke lokasi aduan tersebut," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Rabu lalu, lima lelaki termasuk tekong hilang, manakala seorang lagi terselamat selepas bot dinaiki mereka karam pada jarak 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 dikatakan keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.


(Foto Ihsan APMM)

Media Baharu