KUALA LUMPUR, 19 Mei- Seorang lagi jemaah haji Malaysia, Abdullah Mat, 59 tahun, berasal dari Pasir Mas, Kelantan, dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, akibat serangan jantung.
Pemergian Allahyarham direkodkan pada 19 Mei 2025 bersamaan 21 Zulkaedah 1446 Hijrah.
"Allahyarham, 59 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Mekah dan merupakan jemaah dari Maktab 89A yang menginap di Abraj al Janadriyah.
"Arwah ditemani isteri beliau, Puan Sarifah binti Hassan, sepanjang perjalanan haji ini," menurut hantaran itu.
Dalam pada itu pihak Tabung Haji memaklumkan bahawa pelaksanaan badal haji bagi pihak allahyarham akan diuruskan termasuk segala urusan berkaitan yang melibatkan kepentingan waris.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah," tambah hantaran itu.