SEREMBAN, 19 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM850,000 sebagai inisiatif kecemerlangan kepada 170 siswazah cemerlang kelas pertama di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif berkenaan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan dalam kecemerlangan akademik.
Menerusi inisiatif itu, setiap seorang pelajar menerima RM5,000.
"Saya sangat mengalu-alukan anak-anak
di hadapan saya ini untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi agar kepakaran dan pengkhususan anak-anak dapat dimanfaatkan kepada Negeri Sembilan dan juga negara.
"Sekali gus, membantu Negeri Sembilan membangun dari sudut ekonomi, pendidikan dan bidang-bidang kontemporari dunia masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sini.
Pada Belanjawan Negeri Sembilan 2025 sebanyak RM19.66 juta peruntukan disedikan untuk memberi tumpuan dalam bidang pendidikan yang juga merupakan peruntukan kedua terbesar Belanjawan 2025.
Kerajaan Negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan meneruskan komitmen tahun 2025 dengan Bantuan Peranti Mudah Alih bagi pelajar Tingkatan Enam, Bantuan Komputer Riba dan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Selain itu insentif Khas Galakan Kecemerlangan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut diberikan bagi meneruskan agenda pendidikan berterusan dan kesinambungan kecemerlangan pelajar di Negeri Sembilan.