LUBOK ANTU, 19 Mei- Seramai 47 penghuni Rumah Litong, Nanga Kesit di Lubok Antu hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka musnah dijilat api pagi tadi.
Kebakaran tersebut memusnahkan 15 pintu rumah panjang 2 tingkat berstruktur tidak kekal berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi, PGO Bomba Sarawak memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian.
PGO menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 minit pagi dan menggerakkan 20 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat, BBP Betong dan dibantu BBP Sri Aman.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan sumber air terbuka dari sungai berhampiran sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.