fb fb fb fb fb

Suspek kes langgar FRU ditahan semula, disiasat kes curi lembu

Seorang pemandu lori yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan mahkamah selepas didakwa melanggar trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu, ditahan semula di Mahkamah Majistret Teluk Intan

BAGAN DATUK, 19 Mei- Seorang pemandu lori yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan mahkamah selepas didakwa melanggar trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu, ditahan semula berhubung siasatan kes curi lembu.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari di perkarangan Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Jelasnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 14 April lalu berkaitan kehilangan dua ekor lembu di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok bagi membantu siasatan lanjut.

Terdahulu, suspek dibebaskan dengan jaminan mahkamah dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Jumaat lalu, suspek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI