fb fb fb fb fb

Lebih 142,000 kes kehilangan kad pengenalan libatkan belia sepanjang 2024 – Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

PUTRAJAYA, 19 Mei 2025 – Sebanyak 142,535 kes kehilangan kad pengenalan melibatkan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun telah direkodkan sepanjang tahun 2024.

Angka berkenaan mewakili hampir separuh daripada keseluruhan 285,568 kes yang dicatatkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tahun tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan kerjasama strategik untuk menangani isu kehilangan kad pengenalan dalam kalangan belia, yang kini dilihat sebagai semakin membimbangkan.

Menurut Hannah, kehilangan kad pengenalan boleh membawa pelbagai kesan negatif, termasuk risiko pencurian identiti, kesukaran dalam urusan rasmi, kos dan masa penggantian yang tinggi, serta tekanan emosi yang dialami oleh mangsa.

Tambah beliau, bayaran bagi menggantikan kad pengenalan boleh mencecah sehingga RM1,010 sekiranya kehilangan berlaku buat kali ketiga dan seterusnya.

Tiga negeri dikenal pasti mencatatkan jumlah kehilangan kad pengenalan tertinggi dalam kalangan belia.

Selangor mendahului dengan lebih 23,000 kes, diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak 20,000 kes dan Johor dengan 17,000 kes.

“Kita tidak tahu kenapa ketiga-tiga negeri ini paling tinggi, tapi kemungkinan besar kerana terdapat bandar besar.

"Dalam kawasan bandar sekarang banyak aktiviti komersial dan selalu berlaku penyerahan kad pengenalan di pondok pengawal di bangunan komersial. Kemungkinan besar ini berkait rapat,” katanya demikian dalam sidang media selepas mesyuarat tangani isu kehilangan kad Pengenalan bersama Jabatan Pendaftaran negara di sini.

Antara faktor utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kes kehilangan ini termasuklah jenayah seperti ragut dan seluk saku, bencana seperti banjir dan kebakaran, serta kecuaian individu sendiri dalam menyimpan dokumen penting dengan teratur dan selamat.

Sebagai usaha untuk menangani isu ini secara menyeluruh, beberapa inisiatif akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara KBS dan JPN.

Inisiatif tersebut merangkumi kempen advokasi digital melalui media sosial dan portal rasmi, penyampaian maklumat JPN dalam program-program anjuran KBS, serta penyediaan kaunter perkhidmatan JPN di acara utama seperti Hari Belia Negara (HBN) dan Hari Sukan Negara (HSN).

Selain itu, KBS akan melaksanakan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang bertujuan membantu individu yang sukar hadir ke pejabat JPN, termasuk bekas atlet negara di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Program MEKAR Rakan Muda pula akan digerakkan melalui penglibatan sukarelawan SATRIA yang akan turun padang ke lokasi-lokasi seperti rumah kebajikan dan pusat pemindahan sementara (PPS), menerusi inisiatif kesukarelawanan Rakan Prihatin.

Hannah menegaskan bahawa kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik, inklusif dan menyeluruh kepada rakyat, khususnya golongan belia yang merupakan aset penting masa depan negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD