LANGKAWI, 19 Mei- Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) dilihat sebagai platform diplomasi serta pusat pemasaran khususnya industri pertahanan antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penganjuran itu berjaya mengumpul penyertaan dari pelbagai negara.
"Seperti biasa ia menjadi tempat untuk memasarkan produk-produk antarabangsa membolehkan kita untuk meninjau dan melihat kemajuan teknologi.
"LIMA'25 kali ini juga akan diadakan persidangan dari pelbagai negara seperti Malaysia Maritime Conference dan Sesi Pocket Talk yang mana menjadi platform penting dalam pertukaran idea.
"Melihat pada dasar-dasar sedia ada dan meneroka pendekatan baru dan seperti biasa LIMA'25 juga menjadi platform untuk kita menjayakan diplomasi pertahanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir LIMA'25 di sini.
Mengulas lanjut, LIMA'25 turut membuka peluang kepada syarikat tempatan membina jalinan kerjasama bersama syarikat antarabangsa terlibat sekali gus, berkongsi kemajuan dan teknologi untuk membangunkan industri tempatan.