LUNDU, 19 Mei- Peningkatan laporan kes penderaan kanak-kanak dan remaja bukan semata-mata mencerminkan pertambahan insiden, sebaliknya menunjukkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap isu tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, trend peningkatan laporan itu dilihat sebagai perkembangan positif hasil usaha advokasi dan kesedaran yang berterusan.
“Memang ada dua kemungkinan. Pertama, mungkin benar jumlah kes sebenar meningkat. Namun pada masa sama, ini menunjukkan lebih ramai rakyat kini peka dan berani tampil melaporkan selepas menyedari kejadian di sekeliling mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Sarawak 2025, hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan program kesedaran secara berterusan di sekolah dan komuniti memberi kesan yang ketara dalam meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap pelbagai bentuk penderaan, termasuk fizikal dan emosi.
Dalam pada itu, Nancy menekankan kepentingan saluran bantuan seperti Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999 sebagai ruang selamat dan mudah diakses oleh masyarakat untuk membuat aduan.
“Kita tidak mahu rakyat hidup dalam ketakutan, terpaksa menoleh kiri dan kanan ketika berada di tempat awam. Sebaliknya, kita mahu mereka rasa selamat dan tahu ke mana hendak dituju jika berlaku situasi mencurigakan atau berbahaya,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyimpan nombor saluran bantuan tersebut di dalam telefon bimbit dan menyebarkannya kepada ahli keluarga serta kenalan terdekat sebagai langkah awal pencegahan.