fb fb fb fb fb

Seorang buruh maut, dua cedera parah kereta bertembung pacuan empat roda

KEMAMAN, 11 Jun– Seorang buruh maut, manakala isteri dan seorang anak perempuan mereka cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 114, Jalan Jerangau- Jabor berhampiran sempadan daerah Dungun dan Kemaman di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, Mazlan Daud, 55 , yang memandu kereta jenis Proton Saga maut akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Isteri mangsa, Siti Mahanon Sh. Ibrahim, 51, pula cedera parah pada bahagian tangan dan kaki manakala anak mereka, Siti Sofrina, 12, pula patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Seri Damai, Kuantan, Pahang.

Mereka dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga di Kuala Terengganu.


(Kemalangan di Kilometer 114, Jalan Jerangau- Jabor, Kemaman
melibatkan Proton Saga dan Toyota Hilux)

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga dipandu Mazlan didakwa hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu seorang kontraktor berusia 43 tahun di laluan bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Saga berkenaan" menurut Hanyan.

Hanyan berkata, seorang lagi anak pasangan suami isteri tersebut yang berada di dalam kereta Proton Saga terbabit iaitu Nor Arina Jumaat, 29, yang juga anak tiri Mazlan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala isteri dan anaknya dirawat di Hospital Dungun.

Media Baharu