fb fb fb fb fb

Tibi: KKM komited pertingkat pengesanan golongan berisiko

LANGKAWI, 11 Jun- Statistik menunjukkan setiap hari di seluruh dunia lebih 4,100 individu kehilangan nyawa akibat penyakit Tibi dan hampir 28,000 orang telah dijangkiti ekoran kurang kesedaran mengenainya.

Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited mempertingkat aktiviti pengesanan kes tibi dengan melakukan saringan kepada golongan berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata keperluan itu berdasarkan 9,474 kes tibi dikesan pada minggu epidemiologi ke 22, bermula Januari sehingga 4 Jun lepas.

Angka itu menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, jumlah kes tibi yang dilaporkan masih belum mencapai purata sasaran seperti yang dianggarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 29,000 hingga 30,000 setahun.

"Jadi ini adalah penting supaya kita dapat juga selari dengan kehendak WHO, hajat WHO iaitu 'end TB Strategy' maknanya pada tahun 2035, untuk kita tamatkan tibi. Jadi tibi ini adalah penyakit berjangkit yang kalau dikesan awal, dirawat dia dapat dihindarkan untuk menamatkan tibi bukanlah mustahil, tapi semua pihak kena ambil bahagian," kata Dr Noor Azmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Telaga Walk, Langkawi.

Ujarnya, saringan tibi akan terus diperkasa melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit HIV, diabetes dan penghuni institusi tahanan.


(Datuk Dr Noor Azmi Ghazali merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Langkawi)

Media Baharu